Kerjaya Aisya Hasnaa

Aisya Hasnaa memulakan kerjaya awal di arena hiburan tanah air pada 2011, sebagai model sambilan dan kemudiannya menjadi penyanyi. Beliau pernah mengeluarkan single sulungnya bertajuk "Lagu Mahu Kamu" di bawah syarikat rakaman Wake The Baby Records milik Ajai.[5]

Aisya bersama tiga adik-beradik perempuannya, termasuk kakaknya Anis Nabilah muncul dalam rancangan drama realiti The Dream Sisters yang mengisahkan perjalanan 4 gadis jelita dalam menggapai cita-cita dan impian yang mereka hajati melalui perspekstif diri dan inspirasi yang diperolehi dari ibu bapa mereka.[6] Siri ini memulakan tayangan perdana di TV9 pada 28 Januari 2013.[7] Menerusi siri ini, Aisya terpaksa mencari tajaan melanjutkan pengajian ke London.[8]

Pada 15 Februari 2014, beliau muncul bersama Beto Kusyairy dalam filem pendek bertajuk Cerita Satu Malam arahan Nazri M. Annuar yang bersiaran di TV9 menerusi slot 9X Shorties. Aisya membuat penampilan filem sulungnya menerusi peranan kecil dalam filem Dollah Superstar arahan Kabir Bhatia. Beliau menyertai barisan pelakon drama rantaian Romi Cinta Julia yang disiarkan di Slot Lestary TV3 bermula 27 Februari 2014; Aisya memegang watak sebagai Julia; digandingkan bersama Syarul Ridzwan.[9]

Beliau muncul dalam filem Juvana 2: Terperangkap Dalam Kebebasan (2015), dan diikuti oleh kesinambungannya Juvana 3: Perhitungan Terakhir (2016), yang kedua-duanya arahan Faisal Ishak. Aisya bersama Sherry Alhadad, Nadia Aqilah Bajuri dan Ruzana Ibrahim menjadi tunjang utama pementasan teater Mencari Sumaiyah arahan Dira Abu Zahar yang dipentaskan di Istana Budaya dari 8 hingga 14 Ogos 2016.[10] Pada September 2016, Aisya muncul dengan single terbarunya, "Usah Ditanya" di bawah syarikat rakaman Octave Records.[11][12]

Aisya memegang watak sebagai Karina dalam siri TV waktu perdana Jurnal Suraya yang mengisahkan penderitaan seorang penghidap leukemia yang dijayakan oleh Nad Zainal.[13] Aisya muncul dalam drama rantaian Unifi TV, Mek Gyver terbitan A. Aida Production, mengisahkan tentang kehidupan Zara yang mahir melakukan kerja baik pulih.[14]

Rujukan

WikiPedia: Aisya Hasnaa http://www.azhan.co/biodata-aisya-hasnaa-adik-kepa... http://www.beritakl.com/2014/06/si-kakak-anis-mema... http://www.imdb.com/name/nm6954249/ http://ww1.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&d... http://ww1.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&d... http://ww1.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&d... http://www.kosmo.com.my/hiburan/intuisi-romantis-a... http://www.sinarharian.com.my/hiburan/jurnal-suray... http://www.sinarharian.com.my/hiburan/lakonan-nyan... http://www.utusan.com.my/hiburan/imej-berhijab-ais...